HARIAN METRO (12 DISEMBER 2024) BANJIR DI TERENGGANU KIAN PULIH

Category: Liputan Berita 2024

Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu semakin baik apabila hanya 80 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 8 pagi, mereka yang terjejas berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh dan Balai Raya Padang Kemunting di Kemaman.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS SK Kampung Baru Kerteh yang dibuka pada Isnin lalu menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga.

Di Balai Raya Padang Kemunting pula, ia menjadi tempat berlindung 76 mangsa daripada 15 keluarga.

Terdahulu, banjir yang melanda daerah Dungun pulih sepenuhnya susulan penutupan empat PPS secara berperingkat bermula tengah hari semalam.

Banjir yang melanda Terengganu bermula Isnin lalu itu menyaksikan dua daerah terjejas iaitu Kemaman dan Dungun.

Ketika ini, keadaan cuaca cerah dan jumlah mangsa yang terkesan menunjukkan trend menurun.

Sementara itu, tiada sungai direkodkan melepasi paras bahaya, amaran dan waspada walaupun kebanyakan sungai utama di Terengganu masih mencatatkan bacaan melepasi paras normal.