31 JULAI 2025 (UKAS) PELUNCURAN BULAN KEBANGSAAN & KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT SARAWAK 2025 BAKAL SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK RAKYAT

Category: Liputan Berita 2025

KUCHING: Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2025 bakal diadakan pada 2 Ogos ini (Sabtu) di Kompleks Sukan Satok.

Majlis peluncuran akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, yang mewakili Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025.

Penganjuran ini merupakan kesinambungan kepada peluncuran peringkat kebangsaan yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 27 Julai lalu di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan kali ini memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan komuniti, memperkukuh nilai perpaduan, kekitaan dan semangat patriotik di kalangan rakyat pelbagai lapisan.

Antara pengisian program termasuk Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Pelepasan Konvoi KMJG, Karnival Kita MADANI, Persembahan PENTARAMA, Jualan Rahmah, pameran jabatan/agensi, serta reruai komuniti MADANI sekitar Kuching.

Konvoi KMJG akan memulakan perjalanannya dari Padang SLPAS ke Dewan Kampung Tematu, Batu Kitang, sebagai lokasi pertama sebelum meneruskan kembara ke seluruh Sarawak dalam lima fasa perjalanan, yang bakal berakhir pada 16 September 2025, sempena sambutan Hari Malaysia.

Setiap hentian konvoi akan menampilkan program interaktif dan hiburan berinformasi bersama masyarakat setempat, dengan kemas kini terkini laluan dan aktiviti disalurkan menerusi media sosial rasmi Jabatan Penerangan Sarawak.

Dalam pada itu, orang ramai turut digalakkan menyertai inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG)” sebagai simbol cinta dan kebanggaan terhadap tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sepanjang bulan kebangsaan ini.-EDISI UKAS