Laporan/foto: Haffis Seria (Sarawak)
MATU, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Sebagai tanda keprihatinan dan semangat keharmonian dalam komuniti, satu Lawatan Kebajikan Ziarah Kasih Komuniti MADANI Daerah Matu telah diadakan bagi menyantuni dua individu penting dalam komuniti mereka.
Lawatan pertama berkunjung ke kediaman waris Allahyarham Basmi Mat, 73, mantan Pengerusi Komuniti MADANI Kuala Matu, yang telah meninggal dunia baru-baru ini.
Basmi dikenang sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan banyak berjasa dalam memimpin pelbagai aktiviti serta pembangunan Komuniti MADANI Kuala Matu.
Rombongan lawatan turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Basmi sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau selama ini.
Rombongan seterusnya melawat kediaman Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Tian Selamah Jmi yang baru sahaja keluar dari Hospital Sibu setelah menerima rawatan kesihatan.
Lawatan itu mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kasih sayang dalam masyarakat, sejajar dengan prinsip MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan, ihsan dan hormat.
“Program Ziarah Kasih seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara ahli komuniti, tetapi juga menunjukkan bahawa kita sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap keadaan sesama kita.
“Insya-Allah, program seperti ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha kita memupuk semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti,” kata Naib Ketua Komuniti MADANI Kampung Tian Faridah Saminan, 41, ketika ditemui semalam.
Pegawai Penerangan Daerah Matu Nurhayati Abdul Halim berharap usaha itu dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan dan menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan Komuniti MADANI.
“Inisiatif sebegini mampu membina komuniti yang lebih peka, penyayang dan bersatu padu dan Pejabat Penerangan Daerah Matu menyokong penuh program seumpama ini,” katanya.
-RJ-