MIRI: Seramai 70 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli Kelab Malaysiaku dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri dan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) telah menghadiri Program Jiwa MADANI@Kelab Malaysiaku.
Program itu yang dianjurkan Jabatan Penerangan (JaPEN) Daerah Miri dengan kerjasama Kelab Malaysiaku SMK Chung Hua Miri telah berlangsung di Bilik Makmal STEM sekolah berkenaan para Rabu.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Miri Aidawatie Mustapha, program tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran JaPEN Miri bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang sistem demokrasi negara melalui proses pilihan raya.
Ketika berucap merasmikan program itu beliau berkata, para pelajar seharusnya diberi pendedahan terhadap proses pilihan raya dan perlu mendaftar sebagai pengundi apabila telah mencapai usia 18 tahun.
“Peranan JaPEN adalah memasarkan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi khususnya para pelajar dengan harapan tidak ada yang tercicir menerima informasi dan inisiatif yang disampaikan kerajaan,” katanya sambil memberitahu aktiviti itu juga diadakan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pada program tersebut juga kata Aidawati, para pelajar telah diberikan taklimat oleh pegawai Pejabat Pilihan Raya Sarawak Amelina Abdul Hamid tentang Sistem Pemerintahan Malaysia, Sejarah Pilihan Raya, Anggota dan Fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selain taklimat katanya, pegawai terbabit turut mengendalikan sesi simulasi pemilihan secara fizikal bersama pelajar sebagai bayangan situasi sebenar hari mengundi semasa pilihan raya kelak.
“Para peserta turut dipertontonkan tayangan video Institusi Diraja dan berpeluang menjawab soalan-soalan kuiz kenegaraan,” ujar beliau lanjut.
Hadir sama pada program itu ialah Penolong Kanan Pentadbiran SMK Chung Hua Adeline Lung Puk Sing, Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Chung Hua Nur Nazihah Hamzah, Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku KTDTHB Chong Ching Nyuk dan Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Chung Hua, Liew Sook Khim.