29 SEPT (MALAYSIA AKTIF) – BAKTI MADANI ASAH KEMAHIRAN PERTANIAN ANAK MUDA

Category: Liputan Berita 2025

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Sebanyak 60 anak pokok rambutan dan longan Brazil ditanam di tapak kebun Bakti MADANI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, di sini hari ini.

Ab Rahman Hussein antara Ketua Komuniti
MADANI yang turut serta dalam aktiviti Bakti
MADANI di SMK Seri Medan, Batu Pahat hari ini.

Inisiatif yang mendapat sumbangan anak pokok daripada Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat itu disertai Pengetua SMK Seri Medan bersama Ketua-Ketua Komuniti MADANI daerah, sekali gus mengukuhkan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Ketua Komuniti MADANI Peserai Ab Rahman Hussein berkata pendedahan aktiviti seperti berkebun mampu membina kesedaran generasi muda terhadap cabaran yang dihadapi petani dalam penghasilan sumber makanan negara.

“Aktiviti ini bukan sahaja mengajar anak-anak muda mengenai jerih perih petani, malah ia dapat mengeratkan hubungan sesama mereka, menanam keseronokan dalam berbakti kepada tanah serta menyihatkan badan kerana melibatkan aktiviti fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian sempena Program Kampung Angkat MADANI dan Program PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan.

Sukarelawan Komuniti MADANI sempena
program Bakti MADANI bergambar bersama
etua Pengarah Penerangan Julina Johan.

Beliau berkata program berteraskan pertanian itu juga mampu memupuk minat pelajar untuk menceburi bidang pertanian pada masa depan, sekali gus meningkatkan penghargaan terhadap usaha keterjaminan makanan negara.

“Selain itu, pelepasan anak benih ikan tilapia ke kolam sekolah turut diadakan bagi menggalakkan pembelajaran praktikal dalam bidang akuakultur,“ katanya.

Daerah Batu Pahat kini mempunyai sebanyak 27 Komuniti MADANI di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat.

-RI