29 SEPT (MALAYSIA AKTIF) – KOMUNITI MADANI BUKIT PINANG ANJUR SEMBANG SANTAI KUPAS KEPENTINGAN URUS HARTA PUSAKA

Category: Liputan Berita 2025

HUTAN KAMPUNG, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Bukit Pinang berjaya menganjurkan Program Sembang Santai yang memberi tumpuan kepada isu pengurusan harta pusaka atau faraid.

Syafiq sedang memberikan taklimat
tentang pengurusan harta pusaka.

Program yang berlangsung semalam bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menguruskan harta secara teratur dan mengikut prosedur sah.

Penceramah jemputan dari Firma Guaman Mohd Anuar & Co, Syafiq Tajudin, menegaskan bahawa kelewatan menyelesaikan urusan pusaka hanya akan menambah kos serta berisiko menimbulkan pertikaian dalam keluarga.

“Ramai menangguhkan urusan pembahagian harta pusaka atas pelbagai alasan, namun kelewatan itu hanya menambah beban kewangan dan menimbulkan pertikaian. Lebih baik diselesaikan secepat mungkin,” jelasnya.

Selain penerangan mengenai langkah-langkah penting dalam pengurusan harta pusaka, program turut memberi ruang perbincangan santai antara penduduk dan penceramah dengan penduduk berpeluang mengajukan soalan secara langsung berkaitan isu yang dihadapi.

Ketua Komuniti MADANI Bukit Pinang Fazilah Ismail dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada penceramah atas perkongsian yang bermanfaat.

.

“Taklimat ini benar-benar membuka mata kita semua tentang kepentingan menguruskan harta pusaka sejak awal.

“Terima kasih kepada penceramah jemputan yang memberi pencerahan berguna kepada komuniti kita,” katanya.

Program berkenaan bukan sahaja memberi kefahaman mendalam mengenai faraid, malah menggalakkan budaya merancang awal bagi mengelakkan masalah berpanjangan, selaras dengan aspirasi masyarakat MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keharmonian keluarga.

Sebahagian peserta taklimat bergambar kenang-kenangan bersama penceramah

-RI