2 OKT (HARIAN METRO) – JAPEN TAMPIL BERBEZA PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU

Category: Liputan Berita 2025

Batu Pahat: Program Kampung Angkat Madani (KAM) melalui Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku siri kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan di sini, semalam menampilkan dua pendekatan berbeza dengan pengisian yang bermakna.

Penganjuran program kali ini memfokuskan dua aspek utama iaitu pendidikan dan pembangunan komuniti selain diselitkan mini karnival, hiburan dan patriotisme, menekankan literasi digital serta penolakan budaya buli.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Julina Johan, berkata JAPEN juga melaksanakan dua pembangunan projek fizikal berimpak tinggi dengan menaik taraf bilik darjah kepada makmal komputer serta pemasangan kipas gergasi dalam dewan.

Katanya, inisiatif KAM bukan sahaja menekankan aspek pembangunan komuniti malah turut memberi tumpuan kepada pendidikan.

“Saya sendiri meninjau fasiliti dan yakin ia dapat meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah terbabit.

“Dalam masa sama, kita juga gabungkan elemen bakti yang dipelopori secara kerjasama dengan Komuniti Madani, iaitu salah satu badan sukarela diselaraskan JAPEN membabitkan komuniti di Batu Pahat,” katanya selepas merasmikan program itu.

Hadir sama, Pengetua SMK Seri Medan, Masrom Rahmat dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Musa Atan.

Lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan acara berkenaan yang turut disertai pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat, jabatan serta agensi kerajaan. Program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Mini Karnival Pendidikan, Mini Skillbox, Road to Varsity, BAKTI@Komuniti Madani dan Kenduri Rakyat Madani.

Katanya lagi, Program KAM inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar serta memacu pembangunan sosioekonomi komuniti di kampung yang dipilih, melalui projek fizikal dan pembangunan infrastruktur asas.

“Inisiatif ini merupakan manifestasi sebenar amalan serve back to community iaitu satu pendekatan di mana setiap ketua jabatan, turut memikul tanggungjawab secara kolektif untuk memastikan projek sampai terus kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, JAPEN turut menyalurkan manfaat kepada komuniti setempat melalui projek pembinaan blok tambahan di Masjid Pekan Sri Medan yang kini dalam fasa awal membina tapak, reka bentuk dan dijangka siap hujung tahun ini.

Sementara itu, Julina berkata, pembangunan memerlukan semangat kebersamaan, dan pelaksanaan KAM ini memberi manfaat besar hasil kerjasama erat agensi negeri seperti kerajaan Johor, pejabat pendidikan daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri.