KUCHING: Sebagai agensi pemangkin komunikasi di peringkat Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak diseru untuk terus memperkukuhkan kolaborasi terutamanya penyampaian maklumat sehingga akar umbi.
Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, kerjasama sedia ada di antara kedua-dua pihak penting dalam membina negeri yang lebih maju dan berdaya saing.
“Kami percaya bahawa melalui perkongsian ilmu, pengalaman yang luas daripada JaPen yang sudah berusia lebih 10 dekad, dan pandangan yang konstruktif, kita dapat mencipta ruang yang lebih luas untuk meningkatkan komunikasi yang berkesan dengan masyarakat.
“Saya berharap pertemuan ini dapat membuka ruang untuk kedua-dua pihak agar saling bertukar pandangan, pengalaman, dan idea bagi meningkatkan keberkesanan kerja-kerja berkaitan penerangan di Sarawak, khususnya” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan kunjungan hormat UKAS ke JaPen Sarawak di sini pada Khamis.
Dalam taklimat ringkas semasa kunjungan hormat tersebut, Awang Putrayusrie turut merakamkan penghargaan kepada Japen Sarawak atas kerjasama yang amat baik sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI 2024 yang lalu.
Sementara itu, Pengarah JaPen Sarawak Helmy Hamid berkata, pihaknya yang memiliki pejabat di 33 daerah di Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu dalam promosi dan publisiti terutamanya menyebarluas bahan-bahan berkaitan inisiatif Kerajaan Sarawak.
Jelasnya, kolaborasi antara kedua-dua pihak juga boleh dimanfaatkan melalui penglibatan dalam penganjuran program komuniti, kursus atau bersukan.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JaPen Sarawak, Ajes Tuah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara JaPen Sarawak, Freda Mathew Manggi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen Sarawak, Sri Kestury Mohammed Zamhari, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JaPen Sarawak, Siti Fairuz Ngatenan, Pegawai Perhubungan Awam JaPen Sarawak, Denver Bantok dan wakil Bahagian Media Siber JaPen Sarawak, Salina Salleh.-EDISI UKAS