1 OKT (SINAR HARIAN) – 2,000 PENGUNJUNG MERIAHKAN PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU

Category: Liputan Berita 2025

BATU PAHAT- Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menerusi insiatif Kampung Angkat Madani (KAM) menganjurkan PENTARAMA X Kelab Malaysiaku (Edisi Khas) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan dengan mengetengahkan pendekatan berbeza.

Program berkenaan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Mini Karnival Pendidikan, Mini Skillbox, Road to Varsity, BAKTI@Komuniti Madani dan Kenduri Rakyat Madani.

Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan berkata, inisiatif KAM bukan sahaja menekankan aspek pembangunan komuniti malah turut memberi tumpuan kepada pendidikan.

“Menerusi program ini, JAPEN berjaya melaksanakan dua projek fizikal berimpak tinggi seperti menaiktaraf bilik darjah kepada makmal komputer serta pemasangan ‘heli fan’ bagi keselesaan pelajar.

“Saya sendiri meninjau fasiliti tersebut dan yakin ia dapat meningkatkan mutu pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku (Edisi Khas), di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengetua SMK Seri Medan, Masrom Rahmat dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Musa Atan.

“Memandangkan lokasi yang dipilih adalah di sekolah, jadi saya bawa elemen penambahan maklumat berkaitan hala tuju pelajar selepas tamat persekolahan supaya mereka tahu arah seterusnya.

“Dalam masa sama, kita juga menggabungkan elemen bakti yang dipelopori secara kerjasama dengan Komuniti Madani, iaitu salah satu badan sukarela diselaraskan JAPEN, melibatkan komuniti di Batu Pahat,” ujarnya.

Selain itu, katanya, JAPEN juga komited mempertingkat kemudahan masyarakat melalui projek pembinaan blok tambahan di Masjid Pekan Seri Medan yang kini dalam fasa awal kerja tapak dan reka bentuk.